22 Disember 2008

Sejarah Pembelajaran Saya 1

Artikel ini berperihal mengenai liku-liku yang telah saya lalui sepanjang perjalanan saya untuk mencapai ijazah kedoktoran falsafah atau PhD. Tujuannya hanya untuk berkongsi pengalaman dan bukan untuk dijadikan iktibar kepada sesiapa. Selepas tamat MCE (kini digantikan dengan SPM) dengan pangkat 2 (Gred 2), saya tidak mempunyai banyak pilihan, walau pun pada masa itu baru tahun 1973! Di sekolah menengah, saya banyak bermain. Tidak ikut nasihat guru atau emak (bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur 12 tahun). Akibatnya, gred MCE saya parah! Matematik Tambahan 9, Kimia 9, sebagai contoh. Mujurlah ada DEB. ITM diwujudkan untuk membantu bumiputra semacam saya. Tetapi, saya sendiri tidak membuat sebarang persiapan untuk bantu diri saya. Saya langsung tidak tahu kursus atau bidang apa yang patut saya ceburi di ITM. Ditakdirkan, pada suatu hari saya menziarahi seorang rakan di hospital. Beliau memberitahu saya yang beliau ingin minta kursus "statistics". Pada hari yang sama, saya terserempak dengan "senior" saya yang kebetulan sedang mengambil kursus "statistics" di ITM. Pada masa tersebut, saya tidak tahu yang senior saya tu seorang "genius" dalam bidang matematik. Lantas saya bertanya kepada beliau sama ada kursus "statistics" yang beliau ceburi itu susah atau senang? Dia jawab "semesek" (dalam loghat Kelantan, semesek = senang). Saya pulang ke rumah, terus isi borang permohonan kemasukan ke ITM dan memilih kursus "staistics".
Dipendekkan cerita, saya dipanggil untuk menghadiri temuduga oleh ITM. Semasa temuduga, saya ditanya beberapa soalan lazim. Penemuduga daripada ITM jelas nampak ingin membantu saya, tetapi mendapati persiapan saya untuk ke IPTA tidak baik. Setelah membelek dan meneliti profil saya berulang kali, beliau ternampak satu perkara. "Mewakili MSSK di dalam hoki". Melihat fakta ini, saya terus diberi tempat. Kesimpulannya, saya dapat masuk ITM kerana bermain hoki untuk MSSK (Majlis Sukan Sekolah Kelantan), bukan kerana unsur-unsur akademik.
Maka, bermulalah era pembelajaran saya dengan melangkah kaki ke IPTA DEB, ITM, Shah Alam. Sebelum ini, saya tidak pernah tinggal di luar Kelantan!

0 ulasan:

Catat Ulasan